Contoh
Karangan Fakta: Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan
kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau,
memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu,
belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber
Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya
kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak
sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan
berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti
pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih
menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa
yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu
mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan
orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai
dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir
melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu
dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai
mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada
dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda
pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin
teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah
‘mati’.
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua
Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah,
kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada
keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar
(JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada
tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi
setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada
2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai
yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami
pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14
sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar
teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar
menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara
kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus
dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat
kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka
seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan
keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi
sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti
saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan
perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu
semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai
sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju
perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai
saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang
ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai
tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai
tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku
sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran
alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka
akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga
boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai
terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan
undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke
sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap
diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan
pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran
didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya
dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut
menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara
berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik
demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai
ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat
membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh
dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa
tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula
dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang
terjejas dapat dipulihkan.
No comments:
Post a Comment